Bismillahirrahmanirrahim
Hawa
Andai engkau masih remaja, jadilah anak yang solehah buat kedua ibu bapamu,andai engkau sudah bersuami jadilah isteri yang meringankan beban suamimu,
andai engkau masih ibu, didiklah anakmu sehingga dia tidak gentar memperjuangkan ad-din Allah
Hawa,
Andai engkau belum berkahwin jangan kau risau
jodohmu, ingatlah Hawa janji Tuhan kita, wanita yang baik adalah untuk lelaki
yang baik. Jangan dimulakan sebuah pertemuan dengan lelaki yang bukan muhrim
kerana aku khuatir dari mata jatuh ke hati, maka lahirnya senyuman maka
tercetusnya salam dan sekaligus disusuli dengan pertemuan takut lahirnya nafsu
kejahatan yang menguasai diri.
Hawa,
Lelaki yang baik tidak melihat paras rupa, lelaki
yang soleh tidak memilih wanita melalui keseksiannnya, lelaki yang warak tidak
menilai wanita melalui keayuannya, kemanjaannya, serta kemampuannya mengoncang
iman lelaki. Tetapi lelaki yang baik akan menilai wanita melalui akhlaknya,
peribadinya dan yang penting pegangan agamanya.
Lelaki yang baik juga tidak menginginkan pertemuan
dengan wanita yang bukan muhrimnya kerana dia takut memberi kesempatan kepada
syaitan untuk mengodanya. Lelaki yang warak juga tidak mahu bermain cinta
kerana dia tahu apa matlamat dalam sebuah pertemuan lelaki dan wanita yakni
sebuah perkahwinan.
Oleh itu Hawa,
Jagalah pandanganmu, awasilah auratmu, peliharalah
akhlakmu, kuatkan pendirianmu. Andai ditakdirkan tiada cinta daripada Adam
untukmu, cukuplah hanya cinta Allah memenuhi dan menyinari kekosongan jiwamu,
biarlah hanya cinta daripada kedua ibu bapamu yang memberi hangat kebahagiaan buat
dirimu, cukuplah sekadar cinta adik- beradik serta keluarga yang membahagiakan
dirimu.
Hawa,
Cintailah Allah di kala susah dan senang kerana kau
akan memperolehi cinta daripada insan yang juga menyintai Allah. Cintailah
kedua ibu bapamu kerana kau akan perolehi keredhaan Allah. Cintailah keluargamu
kerana kau tak akan jumpa cinta yang bahagia selain dari cinta keluarga.
"Janganlah sesekali tangan yang mengoncang
dunia juga yang mengoncang iman lelaki."



No comments:
Post a Comment