Sunday, August 26, 2012

KISAH SEORANG LELAKI TUA



...Bismillahirrahmanirrahim...


Alkisah, ada seorang lelaki tua yang kerjanya menjual ulam-ulaman dan sayuran di pekan berdekatan kampung halamannya. Lelaki yang mencecah umur 80-an ini setiap pagi, sesudah Subuh, akan mengayuh basikal usangnya, ke pekan, dalam perjalanan kira-kira 15km. Sayuran dan ulam-ulaman itu ditanam di belakang rumahnya sendiri. Inilah pekerjaanya, mencari rezeki yang halal, meneruskan sisa-sisa hidupnya saban hari.

Setiap hari, sesudah berjual, dia akan singgah dahulu ke masjid di pekan itu, untuk solat Zuhur, sebelum pulang ke rumah. Selepas berdoa dan berwirid, lelaki itu akan membersihkan dedaun yang berselerak di halaman masjid. Perbuatanya ini dilakukannya setiap hari selepas solat Zuhur, sejak beberapa bulan lalu. Setelah selesai dedaun itu dibersihkan barulah beliau pulang ke rumahnya.


Para jemaah dan jawatankuasa masjid kasihan melihat keadaan lelaki tua itu. Lalu, mereka mengambil inisiatif mengupah seorang pekerja muda bagi membersihkan dedaun itu setiap pagi, dengan niat membantu lelaki tua agar tidak perlu bersusah payah membersihkan halaman masjid lagi.

Tidak disangka-sangka, rupanya, niat baik mereka telah membuatkan lelaki tua itu menangis dan kesedihan. Dia bermohon kepada AJK masjid supaya terus diberi kesempatan membersihkan halaman masjid seperti sediakala, kerana itu sahajalah sumbangan yang mampu lakukannya, untuk masjid tersebut. Akhirnya, pihak masjid terpaksa membiarkan situasi berjalan seperti biasa supaya lelaki tua itu tidak kesedihan.

Suatu hari, seusai solat sunat selepas Zohor, lelaki tua itu pun terus menyapu dedaunan seperti sediakala, dan datanglah imam masjid itu kepadanya, lalu bertanya, mengapa dia melakukan hal ini. Lelaki tua itu pun menjawab:


Saya ini orang bodoh, tuan. Saya tahu amal saya ini kecil sahaja. Saya tidak mungkin selamat pada hari kiamat, tanpa syafa’at Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam. Maka, setiap kali saya menyapu sehelai daun, saya ucapkan satu selawat kepada Baginda Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam. Agar bila mati nanti, saya ingin Rasulullah menjemput saya. Biarlah dedaun ini menjadi saksi bahawa saya telah membacakan selawat kepada junjungan Nabi sollallahu `alaihi wasallam”, kata lelaki tua itu dengan hiba.


Air matanya mengalir membasahi pipinya yang berkedut itu. Pak imam itu turut merasa sebak, terharu. Allahu akbar!

...............................................................................


إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيما

'' Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat kepada nabi. Wahai orang-orang yang beriman! Berselawatlah kamu untuk Nabi, dan ucapkanlah salam penuh penghormatan kepadanya'' (surah al-Ahzab 33: 56).


 ''Sesungguhnya pada diri Rasulullah SAW itu, buat kamu adalah teladan yang paling baik bagi orang yang mengharap rahmat Allah & kedatangan hari kiamat & yang banyak mengingat Allah SWT'' (Surah al-Ahzab, 33:21)


Ibrah dan pengajaran dari cerpen ringkas ini:

1.     Reflect diri, tanya pada hati, apa yang telah diri ini sumbangkan untuk Islam? Adakah pekerjaan dan amalan seharian kita menuju redha Allah SWT? Dan adakah kita melaksanakan tugas kita sebagai khalifah, menegakkan syiar Islam di dalam diri, keluarga dan di bumi Allah ini?

2.     Cari perbuatan/perkara yang dapat ingatkan kita kepada rasullulah SAW. Yang terbaik adalah dengan mengamalkan sunnah Baginda SAW. Jom cari 1 titik permulaan yang selalu kita buat, yang boleh mengingatkan diri agar berselawat kepada Baginda SAW. Misalnya, terjumpa air dan nak minum, baca basmalah dan selawat dulu, baru minum J atau bila sms masuk/ dpt call, ringtone berbunyi selawat. Satu langkah awal yang praktikal, untuk terapkan nilai berselawat ke atas nabi SAW.

3.     Buatlah kebajikan, walau di mana anda berada J ‘Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh yang berbuat makruh dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung’. (ali-Imran, 3:104)

4.     Dan lain-lain yang sesuai. Wallahua’lam J


No comments:

Post a Comment